Ini sumbangan PM Anwar semasa bertemu masyarakat Islam di Jerman

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan pada hari kedua Ramadan bertemu dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Islam di Jerman.

Perdana Menteri turut menyumbangkan 12 naskhah al-Quran selepas menyertai jemaah di Masjid Sehitlik untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih.

Sebuah daripada sumbangan al-Quran itu adalah Cetakan Khas, sebuah lagi Terjemahan Bahasa Jerman manakala 10 ialah Terjemahan Bahasa Inggeris kepada pengurusan masjid berkenaan.

Terdahulu, ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan itu disambut oleh Duta Besar Turkiye ke Jerman, Ahmet BaÅŸar Åžen.

Anwar yang tersenarai di tangga ke-11 sebagai pemimpin dan ahli politik Islam paling berpengaruh di dunia itu kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti Islam terbabit.

Antara isu yang dibincangkan ialah pembangunan umat Islam di Jerman dan keadaan semasa yang menimpa warga Palestin di Gaza.

“Perdana Menteri dan komuniti Islam juga menyatakan pendirian bahawa penderitaan warga Palestin ini mesti dihentikan serta-merta,” kata seorang diplomat Malaysia, dipetik BH.

Kelmarin, dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin, Anwar mengecam negara Barat kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza yang telah mengorbankan lebih 31,000 nyawa setakat ini.

Beliau menegaskan bahawa dasar kekejaman Israel terhadap Palestin selama berdekad-dekad adalah punca utama kepada konflik yang berterusan.

BACA JUGA Jawapan balas Anwar buat golongan pro pengganas ternganga