Jawapan balas Anwar buat golongan pro pengganas ternganga

Jawapan balas Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang media di Jerman menarik perhatian warganet sehingga dianggap boleh membuatkan golongan pro pengganas Israel ternganga.

Perdana Menteri menegaskan wartawan berkenaan sepatutnya tidak melihat sesuatu perkara dari sebelah pihak sahaja kerana peperangan di Palestin turut mengorbankan ribuan nyawa rakyat yang tidak berdosa.

Anwar bersama Olaf Scholz memeriksa barisan kawalan kehormat Tentera Jerman pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Canselori Persekutuan, Berlin.

“Bagaimana dengan keganasan yang dilakukan terhadap mereka (rakyat Palestin) dan tanah milik mereka dirampas begitu sahaja? Adakah kamu tidak peduli mengenai isu ini?

“Mengapa perlu berpihak kepada sebelah pihak sahaja apabila kita perlu melihat kepada perspektif kedua-dua pihak?

“Adakah kerana kamu memilih untuk memihak kepada sesetengah bangsa atau agama sahaja?” bidas Anwar ketika dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, Berlin.

Anwar bersama rakan sejawatnya Canselor Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, Berlin.

Terdahulu, wartawan itu bertanyakan tentang konflik peperangan Palestin dan Israel terutamanya dalam soal pembebasan tebusan Israel oleh kumpulan pejuang Hamas.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak bersetuju untuk keganasan dilakukan terhadap mana-mana pihak.

Justeru, beliau menasihati wartawan tersebut untuk tidak memberi fokus kepada satu pihak sahaja dengan membelakangkan kezaliman Israel merampas tanah milik rakyat Palestin sejak 1948.

“Saya tidak menyokong apa-apa jenis kekejaman dan saya tidak setuju sekiranya tebusan terus ditahan lebih lama oleh kedua-dua pihak.

“Namun, jangan membelakangkan sejarah 60 tahun Palestin ditindas ketika Nakba,” tegas Perdana Menteri lagi.

Dalam masa sama, Anwar turut mengkritik sikap negara Barat yang gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel di Gaza yang telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa.

Beliau menegaskan dasar dan kekejaman Israel terhadap Palestin selama berdekad-dekad adalah punca utama kepada konflik yang berterusan.

BACA JUGA Fitnah Razman terhadap PM Anwar bukti Pas hilang nilai Islam