Jangan lupa ada kes murid bukan Islam makan di tandas, Syahredzan tempelak Pas

Pas telah membuktikan bahawa pendirian politik mereka tidak sesuai dengan negara ini yang mempunyai pelbagai kaum dan agama apabila membantah keputusan membuka kantin sekolah sepanjang Ramadan.

Kata ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, amat mendukacitakan apabila terdapat pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikannya sebagai polemik politik sedangkan tujuan dan niat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek adalah berpaksikan nilai kemanusiaan

Beliau mengingatkan Pas agar tidak lupa dengan insiden yang pernah berlaku sebelum ini di mana murid-murid bukan Islam terpaksa makan di tandas sekolah dan tempat-tempat yang tidak sesuai sewaktu bulan puasa.

“Adakah pemimpin Pas seperti Datuk Ahmad Yahaya tidak mempunyai rasa belas kasihan untuk anak-anak ini?

“Terdapat pelbagai sebab mengapa kantin wajar dibuka ketika bulan Ramadan. Di sesebuah sekolah, ada pelajar dan guru bukan Islam yang tidak berpuasa.

“Di samping itu, untuk anak-anak Muslim walaupun mereka harus dididik berpuasa, tetapi yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Ahmad Yahaya beranggapan arahan Fadhlina supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan sebagai keterlaluan.

Dakwanya, tindakan menteri berkenaan seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.

“Ironinya, Dewan Ulama PAS Pusat melihat menteri sendiri gopoh dalam mengeluarkan arahan sedemikian seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan dan para pelajar Muslim yang harus diasuh untuk berpuasa sejak daripada kecil,” katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun dibidas Syahredzan yang menyifatkan Pas lah yang sebenarnya mempolemikkan isu berkenaan.

Justeru atas sebab itu, beliau menggesa Pas dan PN untuk berhenti mempolitikkan isu kantin sekolah malah ianya tidak wajar dicemarkan dengan politik sempit mereka.

“Sekali lagi, Pas dan PN membuktikan bahawa pendirian politik mereka tidak serasi dengan negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia.

“Jelas bahawa mereka lebih cenderung untuk mengeluarkan kenyataan yang memecahbelah masyarakat dan bukannya memupuk perpaduan,” ujarnya.

BACA JUGA Video Anwar bidas wartawan Jerman tuai perhatian, warganet sempat petik nama Mahiaddin