Langkah – langkah baru membendung perceraian yang meningkat

Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil pelbagai langkah untuk membendung kes perceraian yang semakin meningkat. Ini termasuk langkah-langkah baru.

“Terkini, Jakim juga telah mengetengahkan konsep Lelaki Qawwam yang merupakan antara inisiatif untuk memperkukuhkan tanggungjawab dan menyerlahkan peranan lelaki dalam mentadbir diri, keluarga, organisasi dan masyarakat seterusnya dapat memperkasakan aspek kepimpinan dan keupayaan lelaki agar memiliki ciri-ciri adil, perkasa, amanah, wibawa, tekad, penyantun dan futuristik,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam) Senator Datuk Dr Na’im Mokhtar.

Selain itu kursus pasca perkahwinan juga telah diperkenalkan. Kursus ini bagaimanapun tidak wajib.

“Peserta Kursus Pascaperkahwinan Islam didedahkan dengan ilmu berkaitan pengurusan kesihatan keluarga, pengurusan kewangan keluarga, motivasi dan pengurusan psikologi serta ibadah dan pengurusan Stres dalam Rumah Tangga menggunakan modul yang telah disediakan oleh Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), kementerian dan agensi berkaitan. Kursus ini dilaksanakan mengikut fasa perkahwinan pasangan iaitu:
i. Fasa Bulan Madu – bagi usia perkahwinan 0-5 tahun
ii. Fasa Sehati Sejiwa- bagi usia perkahwinan 6-10 tahun
iii. Fasa Semarak Kasih – bagi usia perkahwinan 11-20 tahun
iv. Fasa Syurga Cinta – bagi usia perkahwinan 21 tahun lebih”

Pelaksanaan kursus praperkahwinan Islam adalah diwajibkan.

Naim mendedahkan maklumat di atas sebagai jawapan bertulis kepada soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin).

BACA JUGA: Keputusan Enakmen Syariah: Mohd Naim minta semua pihak elak provokasi