Malaysia bakal ikut langkah negara lain tutup TikTok? Ini jawapan muktamad Fahmi

Susulan langkah beberapa negara yang menutup platform media sosial TikTok, timbul tanda tanya sama ada Malaysia akan mengikut jejak sama.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat mengikut langkah negara-negara seperti India yang membuat sekatan operasi platform itu.

Katanya, begitu juga China yang tidak membenarkan TikTok beroperasi tetapi menggantikannya dengan aplikasi serupa iaitu Douyin.

Menurutnya, beberapa langkah sedang dipertimbangkan bagi meningkatkan tahap keselamatan penggunaan platform berkenaan termasuk melibatkan kanak-kanak, penyebaran bahan pornografi dan jualan produk tidak patut.

“Pada waktu ini, kerajaan tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial.

“Kita harap kerjasama lebih baik daripada penyedia platform media sosial serta undang-undang yang mungkin padu atau lebih sesuai manfaat dengan keperluan sekarang.

“Ini akan dapat membantu negara, ekonomi dan rakyat kita meraih manfaat daripada pengguna platform-platform ini.

“Bagaimanapun kita mengambil maklum ada sejumlah negara seperti India contohnya telah menutup TikTok sejak lima atau enam tahun lalu. Di China pula, TikTok tidak wujud langsung tetapi menggunakan aplikasi berbeza iaitu Douyin,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (BN-Batu Pahat) berkenaan pendirian kerajaan sama ada untuk menutup platform media sosial memudaratkan seperti yang telah dilaksanakan beberapa negara.

Sebelum itu, ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari bertanyakan soalan tambahan mengenai langkah kerajaan bagi membanteras penjualan bahan pornografi di aplikasi Telegram dan X yang turut menjejaskan pelajar sekolah.

Menteri menjelaskan, sebanyak 38 aduan kes diterima bermula 1 Januari 2023 hingga 1 Mac lalu.

“Daripada jumlah itu, 18 kes masih dalam siasatan, dua telah dikeluarkan notis amaran dan 18 kes berstatus tiada tindakan lanjut atau tiada kesalahan dizahirkan.

“Usaha menangani sebaran bahan lucah dan beberapa perkara lain, ia bersifat seperti ‘cat and mouse’, kita tutup sini, dia muncul sana, bila tutup sana, muncul situ pula.

“Jadi kerjasama daripada penyedia plaform media sosial diperlukan, contohya isu yang dihadapi oleh PDRM untuk membuat siasatan dari aspek ‘profiling’. Ada beberapa langkah telah diteliti dan akan diumumkan tidak lama lagi,” jelasnya.

BACA JUGA Jangan lupa ada kes murid bukan Islam makan di tandas, Syahredzan tempelak Pas