‘MB Sempoi’ kena seru selepas kakitangan dakwa 9 bulan gaji tidak dibayar

Anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI) iaitu Kedah Agro Holdings Berhad didakwa tidak membayar tunggakan gaji kakitangan selama sembilan bulan.

Perkara itu didedahkan salah seorang kakitangan anak syarikat tersebut kepada aktivis politik yang juga Ketua Penerangan Siswa Keadilan, Wan Hadi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak dapat mengelak dari dikaitkan kerana syarikat GLC tersebut dikatakan berada di bawah kendaliannya.

Berdasarkan mesej tular dipercayai dari kakitangan syarikat tersebut, individu itu mendakwa surat telah pun dihantar kepada Sanusi mengenai tunggakan gaji mereka, namun tiada keputusan yang diperoleh.

“Kami di anak syarikat GLC di bawah MBI tidak dapat gaji selama sembilan bulan. MBI ini Menteri Besar Incorporated, di bawah MB Kedah.

“Kami dah hantar surat ke MB untuk pengetahuan dia yang kami tidak perolehi gaji dan meminta CEO di tempat kami letak jawatan.

“Namun balasan yang diberi tu tiada kata putus. Kami cuma nak hak kami sebagai pekerja sahaja,” katanya dalam satu mesej yang dikongsi oleh Wan Hadi di platform X.

Dakwa individu itu lagi, petisyen juga telah dihantar ke kediaman rasmi Sanusi di Dewan Seri Mentaloon Kedah, namun tiada kata putus yang diberikan.

Sementara itu menerusi dua helai surat yang didedahkan dipercayai surat balas dari Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, pejabat itu antara lain memaklumkan bahawa Kedah Agro Holdings baru sahaja menerima tawaran menjalan perniagaan yang baharu.

Dengan pendapatan itu kelak, ia akan digunakan untuk membayar gaji-gaji yang tertunggak.

Dalam erti kata lain, syarikat tersebut tidak mempunyai dana ketika ini untuk melangsaikan tunggakan gaji pekerja.

Sementara itu dalam pendedahan lain, Kedah Agro Holdings didakwa tidak melakukan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga dua ke tiga tahun.

BACA JUGA Malaysia bakal ikut langkah negara lain tutup TikTok? Ini jawapan muktamad Fahmi