Selepas Aliff dicekup Jawi, Bella Astillah fail cerai secara ekspres

Selepas hampir seminggu pelakon Aliff Aziz, 33, dicekup Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), isterinya memfailkan permohonan perceraian.

Bella Astillah, 30, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di ibu negara, kelmarin.

Sebutan kali pertama berlangsung hari ini, apabila Bella tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Ibu kepada dua anak itu ditemani ibu Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah.

Aliff bagaimanapun tidak hadir kerana ada urusan penggambaran dan prosiding diteruskan, bulan depan.

Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah memberitahu pemberita bahawa dia nekad untuk bercerai.

“Sebenarnya, saya fikir ini jalan terbaik untuk saya. Seperti mana semua tahu, kami pernah rujuk sebelum ini. Jadi, saya fikir, dengan memilih jalan masing-masing, ini mungkin yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.

“Pada awalnya, dia bersetuju dan lagi-lagi pada Ramadan ini, saya mahu semuanya lancar… Itu sahaja,” katanya kepada media sejurus sebutan kali pertama kes berakhir.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Bella, iaitu Azmi Mohd Rais berkata, hari ini adalah sebutan pertama bagi kes tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah.

“Kami sudah failkan kes ini, kelmarin, iaitu perceraian secara ekspres sebab kami dapat berita sebelum ini Aliff bersetuju.

“Tetapi hari ini Alif cakap dia tidak bersedia kerana ada penggambaran.

“Jadi, saya sudah mohon tarikh sebutan seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman secara kendiri dan berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik,” katanya, dipetik BH.

Minggu lalu, heboh tindakan Jawi mencekup artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita yang didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di Kuala Lumpur.

Tangkapan yang dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi hasil maklumat orang awam itu menyaksikan penglibatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas pasangan terbabit enggan membuka pintu unit kondominium tersebut.

BACA JUGA Menjelang Ramadan: Ruhainies nafi kena ‘tangkap basah’