Tepung, minyak, telur tak naik harga tapi peniaga bazar Ramadan tergamak cekik darah ‘kaw-kaw’
Ramai dilihat tidak puas hati dengan sikap sebahagian peniaga bazar Ramadan yang tamak apabila tergamak cekik darah ‘kaw-kaw’ walaupun kos bahan mentah banyak yang tidak naik harga.
Di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dilapor peniaga kononnya terpaksa menaikkan harga juadah sekitar RM1 sehingga RM2 dengan alasan kenaikan kos bahan mentah.
Seorang peniaga murtabak di situ contohnya memberitahu dia “terpaksa” menaikkan harga makanan itu daripada RM5 kepada RM7.
Alasannya, bawang India yang murah tiada lagi di pasaran menyebabkan dia perlu membeli bawang pada harga sehingga RM7 sekilogram (kg).
Rata-rata warganet mengecam tindakan peniaga yang dilihat mahu meraih keuntungan berlebihan.
Ada juga mempersoalkan kewajaran peniaga menaikkan harga sehingga RM2 bukannya 50 sen atau RM1 untuk sekeping murtabak dengan alasan bawang sudah mahal.
“Minyak masak tak naik harga. Telur pun tak naik harga. Ayam tak naik harga. Daging pun tak naik harga. Bawang India saja naik harga.
“Murtabak ni orang nak rasa ayam dengan daging bukan nak makan bawang!” kecam pengguna X yang juga pempengaruh Abdul Rani Kulup Fans.
Ramai juga mempertikai tindakan peniaga murtabak di bazar Ramadan yang menjual makanan itu dengan terlalu kurang kandungan ayam.
“Biasanya di bazar Ramadan, banyak murtabak isi bawang dan telur. Nak nampak daging, ayam ke memang tak ada. Lain-lain ada murtabak kentang walaupun yang di’order’ murtabak daging atau ayam,” kata seorang netizen lagi.
Selain peniaga murtabak, penjual Roti John juga tergamak cekik darah “terpaksa” menaikkan harga sehingga ada mencecah RM10 berbanding tahun lalu di sesetengah tempat dijual RM8.
Alasan peniaga terbabit, kononnya harga sos cili, sos lada hitam dan juga daging mengalami kenaikan.
BACA JUGA Bazar Ramadan Jalan Raja Alang meriah dengan aneka makanan, minuman