Biarlah kantin sekolah dibuka, Gerakan tolak pandangan ulama Pas

Gerakan yang juga rakan gabungan Pas dalam Perikatan Nasional (PN) nampaknya menolak pandangan pemimpin dari parti Islam itu yang membantah pengoperasian kantin sekolah sepanjang Ramadan.

Lapor Malaysiakini, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata, semua pihak mempunyai interpretasi berbeza mengenai hal itu namun baginya, kantin sekolah wajar dibiarkan beroperasi.

“Saya rasa kita mempunyai interpretasi berbeza dalam perkara ini. Tiada siapa yang salah dan bukan semua pandangan perlu dikritik.

“Bagi kantin sekolah, biarlah ia beroperasi. Apa yang penting adalah nilai hormat menghormati kepercayaan dan amalan keagamaan dalam kalangan pelajar,” katanya seperti dilapor.

Tambah Dominic lagi, parti Gerakan berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia kebebasan dalam beragama.

Terdahulu, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya mendakwa arahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan sebagai keterlaluan.

Katanya, arahan itu seolah-olah sengaja mencetuskan polemik sedangkan pelajar bukan Islam boleh membawa bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan.

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya.

Namun, Fadhlina sebelum ini telah menegaskan bahawa langkah itu bagi membolehkan pelajar bukan Islam dapat makan dengan selesa.

Bahkan jelasnya, arahan pembukaan sekolah bukan dasar baharu dan ia dilaksanakan khusus untuk sekolah yang mempunyai murid bukan Islam.

“Saya tidak mahu ada anak bukan Islam dan tidak berpuasa ini makan dalam stor atau makan di tempat yang tidak wajar, sedangkan semua sekolah ada kantin. Jadi mereka harus pergi kantin untuk makan,” katanya

BACA JUGA ‘Jangan buat fitnah di bulan Ramadan’ – MB Negeri Sembilan