‘Bukan hak saya untuk mengarah penyedia platform media sosial’ – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya tiada kuasa untuk mengarahkan penyedia platform media sosial termasuk TikTok menurunkan mana-mana kandungan.

Menurutnya, tindakan tersebut sebenarnya tanggungjawab dan keputusan penyedia platform itu sendiri.

Beliau berkata, walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta TikTok sebagai contoh untuk menurunkan sesuatu kandungan, ia tidak bermaksud mereka akan akur kepada kehendak berkenaan.

“Sekiranya pihak platform menurunkan sesuatu content, mereka tidak akan memaklumkan kepada kementerian mahupun saya tentang cara yang mereka gunakan untuk mengekang akses kepada content tersebut.

“Itu bukan hak saya untuk mengarah mereka… Cuma saya ambil kesempatan untuk menjelaskan, saya tidak mengarahkan ataupun tidak ada kuasa pada waktu ini untuk meminta mana-mana platform melakukan apa-apa,” ujarnya.

Katanya lagi, sebarang langkah yang sedang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan kerjasama dengan penyedia platform media sosial sahaja.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan E-Farmasi Penyelesaian Digital Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Baharu oleh Unifi Business di TM Digital Academy, Universiti Multimedia, Cyberjaya hari ini.

Semalam, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) di Dewan Rakyat bertanyakan kepada Fahmi sama ada kerajaan ada mengeluarkan arahan untuk menurunkan video berkenaan dari platform TikTok.

Sehubungan itu, Radzi turut bertanyakan kepada Fahmi jika elemen ‘geofencing’ digunakan untuk mengehadkan akses kiriman beliau kepada pengguna di luar Malaysia.

Susulan itu, Fahmi menafikan perkara tersebut dan meminta Radzi yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak membuat tuduhan sembarangan.

BACA JUGA Fahmi pernah dicemuh pertahan hak wartawan