CEO MBI Kedah akhirnya buka mulut, anak syarikat sah tak bayar gaji sejak September

Anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah iaitu Kedah Agro Holdings sah tidak membayar tunggakan gaji kakitangannya yang dilaporkan tertunggak sejak September tahun lalu.

Ia diakui sendiri oleh CEO MBI Kedah yang dilaporkan sedang menyelesaikan isu tunggakan gaji kakitangan anak syarikatnya.

Memetik Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Zafir Annuar Ghazali, berkata pihaknya sedang meneliti isu berkenaan dan akan merujuk kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) dilaporkan sudah pun memberi notis kepada Kedah Agro Holdings Berhad untuk segera menyelesaikan isu tunggakan gaji kakitangan.

Namun apa yang mengejutkan, JKTSM sebenarnya sudah pun memberikan notis kepada anak syarikat di bawah Menteri Besar Kedah itu sejak Januari tahun ini.

“Saya sudah mendapat laporan JTKSM mengenai isu dan latar belakang kes itu. JKTSM sudah memberi notis kepada mereka sejak Januari lalu. Ia bercanggah dan melanggar Seksyen 19 Akta Kerja 1955.

“Notis (diberikan JTKSM) kepada majikan terbabit untuk membayar (tunggakan) gaji, dan mereka sudah berjanji akan memohon bantuan kerajaan negeri (Kedah),” katanya semalam

Terdahulu Harapan Daily melaporkan pendedahan dibuat kakitangan Kedah Agro Holdings yang mendakwa tidak dibayar gaji selama sembilan bulan.

Kakitangan mendakwa surat telah pun dihantar kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai tunggakan gaji mereka, namun tiada keputusan yang diperoleh.

Selain tunggakan gaji, syarikat berkenaan juga didakwa gagal menjelaskan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

BACA JUGA ‘MB Sempoi’ kena seru selepas kakitangan dakwa 9 bulan gaji tidak dibayar