Harga ayam naik 30 sen, tapi belum lepas harga siling – Menteri
Biarpun terdapat beberapa laporan mengenai kenaikan harga ayam sebanyak 30 sen, namun situasi itu masih terkawal dan tidak melepasi harga siling RM11.40 sekilogram (kg), kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata demikian selepas Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mendakwa harga ayam naik 30 sen adalah bercanggah dengan kenyataan kementerian bahawa ia agak stabil.
Mohamad menjelaskan, kenaikan itu sebenarnya langsung tidak mencecah harga siling, malah pasar raya-pasar raya masih lagi menjual ayam segar pada harga sekitar RM7 hingga RM9.
“Dalam laporan bulanan, harga ayam agak stabil jika dibandingkan dengan harga yang kita letak dulu iaitu harga siling RM11.40. Setakat ini belum lagi mencecah ke arah itu.
“Kalau di (pasar raya) Mydin masih lagi dijual dengan harga bawah RM9, kadang-kadang RM7.90, kadang-kadang RM8. Umumnya kalau ada poket (premis) tentu (yang jual) mahal, itu bukan kerana dasar umum.
“Kita akan pantau dan buat laporan, kenaikan 30 sen kalau daripada RM5.50 naik 30 sen, maknanya ia belum mengatasi harga siling yang kita pernah tetapkan. Di pasaran kita pantau berterusan, libat urus diadakan sentiasa sama ada dengan penternak kecil atau besar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
BACA JUGA MP Pas kurang selesa dengan sekolah vernakular, tapi hantar anak ke SJK(C)