MP Pas kurang selesa dengan sekolah vernakular, tapi hantar anak ke SJK(C)

Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor mengundang kecaman ramai selepas meluahkan rasa tidak puas hati dengan sekolah Cina anaknya yang menggunakan bahasa mandarin di sekolah.

Beliau mendakwa kurang senang dengan sekolah vernakular seperti SJK(C) yang mengajar subjek pelajaran dalam bahasa Cina selain mendakwa sekolah itu mempunyai silibus berbeza dengan Sekolah Kebangsaan.

Ironinya apa yang menjadi perdebatan, dalam keadaan beliau tidak selesa dengan penggunaan bahasa mandarin di sekolah vernakular, tetapi beliau sendiri memilih untuk menghantar anaknya ke sekolah itu.

“Saya ingin penjelasan berkaitan dengan sekolah vernakular. Minta maaf sebut sebab kita melihat bahawa kita berada dalam satu negara yang sama, tetapi kita mempunyai bahasa dan juga silibus yang berbeza.

“Saya menyokong bahasa Cina sebagai bahasa yang boleh di belajar di sekolah. Anak saya sendiri belajar di sekolah Cina. Tak marah itu.

“Tapi saya kurang senang, tak selesa bila kita dalam satu negara yang sama, kita ada bahasa lain yang berbeza. Sains dalam bahasa Cina, bahasa Tamil, begitulah seterusnya,” katanya ketika bertanya soalan kepada Menteri.

Bagaimanapun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tampil menempelak ahli Parlimen Pas itu yang disifatkannya telah memberi tanggapan dahsyat berkenaan sekolah vernakular.

Fadhlina menegaskan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina mahupun Tamil telah dibenarkan di bawah akta pendidikan untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dalam usaha memperkukuh bahasa itu dalam kalangan murid.

Beliau juga menyifatkan MP Temerloh itu sebagai tidak memahami apakah yang dinamakan dengan sekolah vernakular.

“Saya ingin membuat penjelasan sedikit kerana saya melihat kekeliruan dan tanggapan MP Temerloh ini sangat dahsyat kerana beliau tidak memahami apakah yang dinamakan sebagai sekolah vernakular itu

“Yang Berhormat, sekolah vernakular ini adalah sekolah yang telah pun diiktiraf di bawah Akta Pendidikan, yang mana antara lain adalah untuk memperkukuh bahasa ibunda mereka masing-masing di sekolah tersebut.

“Jadi tidak ada isu langsung bahawa sekolah ini ada masalah atau pun mengikuti silibus yang berbeza. Silibus KPM. Mana ada silibus yang berbeza,” tegasnya.

Beliau juga sempat menegur agar tuduhan bersifat Ghuluw tidak dibawa ke dalam Dewan Rakyat.

“Sebab itu saya kata tuduhan yang bersifat Ghuluw ini keterlaluan ini jangan dibuat dalam Dewan ini kalau tidak ada fakta.

“Silibus sama, sekolah vernakular untuk mempertahankan bahasa ibunda mereka, tak ada masalah. Akta pendidikan benarkan,” ujarnya.

BACA JUGA CEO MBI Kedah akhirnya buka mulut, anak syarikat sah tak bayar gaji sejak September