Hassan ingatkan ‘sesuatu’ kepada PKR, parasit dan penyakau perlu ditolak
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menyemak dan menapis terlebih dahulu bekas pemimpin parti lain yang mahu menyertai parti tersebut.
Ini kerana katanya, PKR bukanlah parti ‘tong sampah dan sesiapa yang mempunyai rekod jenayah, bankrap serta rasuah seeloknya tidak diterima dalam parti berkenaan.
“Adalah wajar, munasabah serta bertanggungjawab untuk semak ke atas pemimpin besar parti lain yang ingin menyertai PKR.
“PKR perlu kekalkan imejnya yang bersih sebagai sebuah parti yang ingin membawa perubahan baik atau ‘reform’.
“Elemen bersifat parasit, dedalu, oportunis atau penyangak dan penyakau serta korup perlu ditolak awal-awal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjangkakan ramai bekas pemimpin berstatus profil tinggi dari Perikatan Nasional (PN) akan meninggalkan parti masing-masing dan menyertai PKR.
Saifuddin mendakwa, pihaknya juga ada menerima permohonan daripada pemimpin pembangkang yang mempunyai nama besar dalam arena politik tanah air.
BACA JUGA Isu picisan dan Perikatan Nasional berpisah tiada