Farhash Wafa pemegang saham besar baharu Heitech

Datuk Farhash Wafa Salvador muncul sebagai pemegang saham besar baharu HeiTech Padu Bhd dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus atau 16.1 juta saham yang dibeli awal minggu ini.

Beliau adalah bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak.

Farhash dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Excel Force MSC Bhd pada Mei tahun lalu, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Bhd pada Disember 2022.

Lapor BH, Farhash memiliki kepentingan dalam syarikat itu melalui syarikat persendirian, Rosetta Partners Sdn Bhd, yang membeli 9.69 juta saham pada 12 Mac dan 6.16 juta saham sehari sebelumnya.

“Pembelian itu dibuat menerusi transaksi perniagaan langsung,” kata HeiTech dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Pada 11 Mac lalu, MyEG Services Bhd turut dilaporkan membeli 14.4 peratus kepentingan dalam HeiTech pada harga RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan strategik.

Penyedia perkhidmatan elektronik itu berkata, ia membeli 14.57 juta saham berkenaan melalui anak syarikatnya, MyEG Capital Sdn Bhd menerusi pasaran terbuka dan transaksi perniagaan langsung.

Syarikat itu berkata, ia membeli 5.16 juta saham HeiTech daripada pasaran terbuka pada 7 Mac lalu secara tunai dengan harga RM11 juta atau RM2.134 sen sesaham.

Jelasnya, ia juga membeli 9.42 juta saham lagi menerusi transaksi perniagaan langsung pada harga RM20.25 juta atau secara purata RM2.15 sesaham.

Pada hari sama, HeiTech mengumumkan ia memperoleh lanjutan kontrak bernilai RM13.11 juta bagi perkhidmatan penyelenggaraan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Ia berkata, lanjutan kontrak itu adalah dari 18 Februari 2024 hingga 17 Februari 2025.

BACA JUGA Wan Ahmad Fayshal dituntut bayar ganti rugi RM10 juta