Harimau Malaya lawan Nepal, ramai pemain dah dua bulan tiada perlawanan, apa kata Pan-gon?
Pasukan Harimau Malaya akan menentang Nepal hari ini dalam perlawanan persahabatan.
Perlawanan secara tertutup itu bakal memberi sedikit ruang buat pengendali negara, Kim Pan-gon untuk membuat penilaian sebelum mengalihkan fokus penuh kepada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman pada 21 Mac ini.
Walaupun keputusan bukan menjadi objektif utama, kemenangan ke atas Nepal akan memberikan kelegaan buat Pan-gon untuk melepaskan tekanan dihadapi anak-anak buahnya melunaskan harapan penyokong.
“Perlawanan ini (menentang Nepal) juga sebahagian daripada persiapan. Kami cuba yakinkan pemain jika mara ke kelompok 18 terbaik, ia akan jadi aksi berbeza. Sebagai pemain, itulah detik hebat buat mereka.
“Hanya itu yang kami boleh motivasikan pemain, tetapi secara mentalitinya, jiwa juga kena ada. Kami perlukan satu lagi motivasi,” kata Pan-gon, dipetik Kosmo.
Mengikut ranking, Harimau Malaya berada di kedudukan 132 dunia manakala Nepal hanya menghuni tangga ke-175.
Namun, Pan-gon mengakui, berdepan kesukaran untuk menyiapkan skuad lebih baik memandangkan majoriti pemain dipanggil tiada perlawanan kompetitif sejak dua bulan lalu.
Sejak mengikat Korea Selatan 3-3 di pentas Piala Asia 25 Januari lalu, pemain negara tidak memiliki sebarang aksi kompetitif kerana saingan Liga Malaysia (Lia M) hanya akan bermula Mei ini.
“Aksi kelayakan lebih penting daripada Piala Asia dan kali ini kami sudah pun bermula dengan baik apabila mencatat dua kemenangan.
“Dua aksi seterusnya pastinya akan memberi cabaran baharu kepada kami kerana Oman adalah pilihan utama daripada kumpulan ini.
“Jika kami tidak mampu atasi dua perlawanan ini, kami tidak berhak untuk menjadi 18 pasukan terbaik,” kata Pan-gon lagi.
BACA JUGA Kementerian Belia saran persatuan sukan cungkil bakat baharu