500 penduduk di Sabah buat solat hajat selepas dilanda kemarau hingga bekalan air kritikal

Pada 13 Mac baru-baru ini, daerah Papar dekat Sabah diisytihar dilanda bencana kemarau susulan krisis bekalan air kritikal yang dihadapi sejak beberapa minggu lalu.

Susulan itu, seramai 500 jemaah Masjid Puncak Takwa Kinarut dilaporkan mengadakan solat hajat bagi memohon bekalan air di daerah itu kembali pulih.

Pengerusi Masjid Puncak Takwa Kinarut, Dr Awang Setia Musleh, berkata pihaknya mengadakan solat hajat khusus terbabit sebelum solat tarawih malam tadi.

“Menjadi harapan pihak masjid semoga Allah perkenankan hajat kita dan permudahkan untuk menghadapi bencana ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada masa sama, beliau turut berharap masjid sekitar daerah itu juga akan melaksanakan solat hajat yang sama.

“Sebaiknya kalau ada pekeliling (pelaksanaan solat hajat) dari pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), harapan kita memang kalau semua masjid melakukannya secara sukarela adalah lebih baik,” katanya.

Seramai 150,000 penduduk direkodkan terjejas akibat bencana kemarau yang berlaku di Papar sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) merangkap Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata bencana itu juga mengakibatkan sebanyak 42 buah kampung, tujuh sekolah, tujuh taman perumahan dan tiga rumah ibadat dalam daerah itu turut terjejas.

BACA JUGA Dakwaan Ringgit jatuh ke paras RM4.98 tidak benar – BNM