Dakwaan Ringgit jatuh ke paras RM4.98 tidak benar – BNM

Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan data mengenai kadar pertukaran ringgit yang didakwa jatuh ke paras RM4.98 seperti yang tersebar di media sosial sejak semalam.

BNM dalam satu kenyataan menegaskan maklumat kadar pertukaran mata wang dolar AS kepada Ringgit Malaysia yang diterbitkan Google pada 15 Mac adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.

Ini kerana kadar pertukaran USD/MYR pada semalam berada pada kadar RM4.7015.

“BNM tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang sedang tersebar di media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah diterbitkan oleh Google pada 15 Mac 2024. 

“Semalam (15 Mac 2024), kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi dan 4.7045 pada pukul 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM. 

“Sepanjang dua minggu yang lalu (1 – 15 Mac 2024), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76% berbanding dengan dolar AS,” kata BNM.

Pada masa sama, Bank Pusat itu berkata, ini merupakan insiden kali kedua membabitkan pihak Google menerbitkan data kadar pertukaran USD/MYR yang tidak tepat pada tahun 2024. 

BNM memaklumkan telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari 2024. 

Susulan insiden salah lapor yang kedua ini, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca pelaporan yang tidak tepat itu berlaku dan langkah-langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu.

BACA JUGA Kita patut puji dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, kata Dr Maza