Australia mendanai kembali UNRWA, ini respon PM Anwar
Malaysia menyambut baik langkah Australia mendanai kembali Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau gembira kerana rakan sejawatannya dari Australia Anthony Albanese mengambil keputusan itu, berikutan keadaan yang semakin meruncing di Gaza.
“Ada anjakan daripada pendirian dulu kepada tuntutan dihentikan serangan dan ditambah peruntukan bantuan kemanusiaan,” katanya pada sidang media di hujung lawatan enam harinya ke Berlin dan Hamburg, lapor Bernama.
Menteri Luar Australia Penny Wong pada hari Jumaat berkata Australia yang membekukan pembiayaan kepada UNRWA Januari lepas, akan meningkatkan bantuan kepada Gaza yang terkepung, semasa beliau melahirkan rasa ngeri dengan konflik kemanusiaan yang semakin merosot di kawasan berkenaan.
Langkah Australia itu dilihat menuruti langkah yang telah diambil Sweden, Suruhanjaya Eropah dan Kanada, mengembalikan semula pembiayaan kepada agensi berkenaan.
Semasa pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin menjelang sidang kemuncak ASEAN-Australia di Melbourne awal Mac, Anwar telah menggesa Albanese mengembalikan semula pembiayaan UNRWA di Gaza sebagai cara ‘paling berkesan’ untuk membantu orang awam.
BACA JUGA Kerajaan minta Google beri penjelasan data pertukaran ringgit tidak tepat
Â