Cubaan hidupkan semula ajaran Ayah Pin: Apa kata anak Presiden Pas?

Heboh dakwaan ada pihak cuba menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad di Besut, Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hal berkaitan ajaran ‘Kerajaan Langit’ itu dalam perhatian kerajaan.

“Dalam makluman dan sedang dalam tindakan pihak berwajib,” kata anak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu ringkas kepada Bernama.

Sebelum ini, satu hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendedahkan ajaran Ayah Pin yang dulunya berkampung di Kampung Batu 13, Hulu Besut cuba dihidupkan kembali.

Pada tahun 1997, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengeluarkan fatwa bahawa ajaran tersebut sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut merobohkan sejumlah premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin yang mempunyai pengikut seramai lebih 150 orang.

Ayah Pin yang mempunyai pengikut seramai lebih 150 orang mendakwa dirinya sebagai wakil “Tuhan” segala agama.

Sementara itu, pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai Tuhan yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuatnya adalah berasaskan wahyu berkenaan.

Ayah Pin mati pada 22 April 2016 ketika berusia 74 tahun di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut akibat sakit tua.

BACA JUGA Tak tahu malu, enam lelaki ponteng puasa ditahan