Tak tahu malu, enam lelaki ponteng puasa ditahan

Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menahan lima lelaki ponteng puasa mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 sejak 1 Ramadan hingga semalam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman berkata, seorang daripadanya adalah warga Indonesia berusia 20 tahun.

Ujarnya, keadaan cuaca panas antara alasan diberikan beberapa individu beragama Islam yang ditahan kerana makan di tempat terbuka serta ponteng puasa pada Ramadan ini.

“Kesemuanya yang berusia antara 20 dan 60 tahun ditahan secara berasingan menerusi Op Cegah Jenayah Syariah di sekitar Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, serta diberikan Surat Perintah Hadir ke JAIM untuk tindakan selanjutnya.

“JAIM akan meneruskan operasi ini termasuk mengambil tindakan terhadap penjual makanan yang tidak menghormati Ramadan,” katanya, dipetik BH.

Menurutnya, seorang buruh binaan turut diberikan Surat Perintah Hadir apabila didapati berada di dalam restoran mamak di Ayer Keroh.

Buruh itu memberi alasan dua bungkus air yang didapati bersamanya adalah untuk rakannya yang bekerja tidak jauh dari restoran itu.

Rahmad berkata, JAIM kerap menerima aduan berkaitan segelintir umat Islam yang makan, minum atau merokok secara terbuka di tempat awam pada Ramadan ini.

Bahkan, tambahnya, terdapat peniaga, restoran pandu lalu serta penghantar makanan yang bersubahat dengan perbuatan seumpama itu.

“Sempena menjayakan kempen Hormati Bulan Ramadan dan Bulan Pelancongan Agama Tahun Melawat Melaka 2024, Bahagian Penguat Kuasa JAIM akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan menjalankan operasi, siasatan dan pencegahan kesalahan syariah,” katanya.

Tahun lalu, jelasnya, sebanyak 96 individu ditahan sepanjang Ramadan menerusi Op Cegah Jenayah Syariah berbanding 41 orang pada 2022.

Sebelum ini, Rahmad memberitahu pihaknya telah mengenal pasti lebih 10 lokasi tumpuan golongan ponteng puasa di sekitar Melaka.

BACA JUGA Awas ‘geng plastik hitam’, lokasi kaki ponteng puasa sudah dikenal pasti