Kita patut puji dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, kata Dr Maza
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin memuji tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan pendirian dan pembelaannya terhadap Palestin di hadapan negara Barat.
Menulis di Facebook miliknya, Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, pendirian Anwar itu patut dipuji walau apa pun perbezaan politik yang ada.
Kenyataan beliau itu hadir ketika penyokong pembangkang melihat usaha Anwar bercakap tentang Palestin di pentas antarabangsa tidak bermakna apa-apa.
“Kita patut memuji dan berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah menyatakan pendirian dengan baik dan tegas berhubung dengan isu Palestin di hadapan pihak Barat.
“Apa pun perbezaan politik yang ada, hormatilah kenyataan YAB PM negara kita yang mewakili suara majoriti kita dalam isu tersebut,” katanya.
Dr Maza pada masa sama berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu jelas tidak mengambil hati Barat dan tidak apologatik dengan kenyataan yang dikeluarkannya di Jerman baru-baru ini.
Sebelum ini kritikan Perdana Menteri Malaysia terhadap kurangnya tindakan negara Barat terhadap kekejaman Israel di Gaza meraih sokongan individu berpengaruh di seluruh dunia.
Anwar menarik perhatian antarabangsa apabila beliau mengkritik negara Barat semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac, kerana kurangnya tindakan mereka terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan enam hari ke Jerman ketika itu, mempersoalkan kemanusiaan Barat dan mengutuk sikap “selektif” dan “ambivalen” mereka terhadap konflik itu.
Wartawan warga British-Amerika yang terkenal Mehdi Hasan berkata Anwar kini mewakili suara majoriti rakyat dunia yang mempertahankan hak warga Palestin.
BACA JUGA Wajah aktres kontroversi dah kena ‘pixel’, ramai terhibur iklan ini lawak