Wajah aktres kontroversi dah kena ‘pixel’, ramai terhibur iklan ini lawak

Tindakan jenama produk kecantikan, Kitsui mengaburkan wajah aktres kontroversi Ruhainies dalam iklan sempena Ramadan dan Aidilfitri membuatkan warganet terhibur.

Wakil syarikat berkenaan menegaskan tindakan itu bagi mengelak salah faham ekoran kes kena cekup dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pihak syarikat itu, jelasnya, enggan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang berkelakuan buruk atau terbabit dalam sebarang kontroversi.

“Sempena bulan Ramadan Al Mubarak ini, kami dengan rendah diri ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesulitan dan kekeliruan yang berlaku terutama membabitkan seorang artis terkenal tanah air.

“Penggambaran iklan produk ini menggabungkan tiga artis iaitu Wany Hasrita, Hisyam Hamid dan Ruhainies, manakala pemilihan mereka dibuat selepas penelitian rapi dilakukan pada Oktober 2023,” kata pihak terbabit dalam satu kenyataan media.

Sementara itu, dua lagi selebriti yang terbabit dalam komersil tersebut iaitu Hisyam Hamid dan Wany Hasrita bagaimanapun tidak kena ‘pixel’.

Dalam masa sama, pihak jenama itu berharap insiden membabitkan Ruhainies tidak memberi kesan dan menjejaskan penyiaran iklan berkenaan.

“Berhubung dakwaan ditangkap khalwat yang dihadapi seorang pelakon, kami harap perkara ini tidak memberi kesan kepada tayangan iklan yang dijayakan seramai 100 kru produksi,” ujarnya.

Rakaman video berdurasi 10 saat itu menyaksikan dialog dilontarkan Ruhainies tidak dibuang.

Susulan tindakan tegas syarikat itu, rata-rata menyokong gara-gara pelakon berkenaan terpalit dengan kontroversi disyaki berkhalwat dengan pelakon Aliff Aziz pada 9 Mac lalu.

“Harap selepas ini ambillah selebriti yang lebih layak.

“Mohon haramkan mana-mana artis yang memandang rendah wanita lain, apatah lagi terhadap agamanya sendiri,” demikian antara desakan warga maya.

BACA JUGA Khalid letak jawatan Presiden, terkejut tahu pernah buat ‘loan’ sebesar ini demi gaji KLFC