Padu amaran menteri kepada kontraktor kerajaan, tiada peluang kedua jika tak capai KPI

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meminta semua syarikat kontraktor yang menjalankan projek kerajaan untuk menjaga prestasi kerja, memberi peringatan tentang akibat yang akan diambil jika kontraktor tidak mencapai KPI yang ditetapkan.

Beliau berkata, di bawah Kerajaan Madani, kontraktor-kontraktor tidak perlu mengenali menteri sebaliknya mereka perlu tahu laksanakan tugas dengan betul.

“Janji anda boleh siap kerja dalam masa dan spesifikasi yang diperuntukkan.

“Prestasi syarikat akan dipantau. Jika tak capai KPI, jangan harap boleh diberi peluang lagi di peringkat @ministryoftransportmy mahupun kerajaan.

“Tanggungjawab kepada rakyat harus digalas dengan sebaik-baiknya,” kata Anthony ketika majlis penyerahan kontrak Pay As Use bagi Lokomotif dan Wagon antara Railway Assets Corp (RAC) dengan SMH Rail Sdn. Bhd. 

Beliau berkata ini adalah komitmen Putrajaya untuk memberikan kontrak kepada syarikat yang menawarkan potensi pulangan tertinggi.

Loke menekankan pentingnya ketelusan dalam penilaian yang dijalankan oleh kementeriannya untuk memastikan kontrak diberikan tidak merugikan kerajaan.

Beliau memberi amaran bahawa prestasi rendah boleh menjejaskan peluang sesebuah syarikat untuk terlibat lagi dalam projek kerajaan.

BACA JUGA 500 penduduk di Sabah buat solat hajat selepas dilanda kemarau hingga bekalan air kritikal