Pemimpin Pas import gejala takfiri

Oleh AHMAD MURSI

Khawarij anggap mereka sahaja kelompok Islam, selain mereka dikira sekular yang mereka anggap kafir murtad.

Dulu UMNO sekular, bila berpakat dengan Pas, maka tidak lagi sekular walaupun ramai telah dikafirkan dulu.

Semasa Pas dalam Pakatan Rakyat (PR), PKR dan DAP tidak sekular, kini apabila tidak bersama, maka semuanya jadi sekular.

Bersatu dan Gerakan yang kini bersama Pas juga membilang hari untuk akhirnya dituduh sekular apabila tidak lagi bersama Pas.

Bahaya trend ini kerana, sekular itu sendiri diberi pelbagai definisi berbeza-beza, begitu juga seperti perkataan liberal.

Abdul Hadi Awang

Jadi apabila mereka terlalu boros cop pihak lain sekular, maka dengan boros juga mereka kafirkan mukmin lain.

Fenomena ini sebenarnya sudah melanda negara-negara Arab hingga berlaku gejala takfiri yang dahsyat dan cuba diperbetulkan semula sebahagian ulama-ulama. Pemimpin Pas import gejala itu ke Malaysia.

Pas tidak jadi Islam dengan hanya kerana nama partinya Islam. Begitulah sebaliknya parti lain tidak dianggap ‘tidak Islam’ hanya kerana tiada perkataan Islam pada nama partinya.

Tak guna nama parti Islam, tapi lakukan dosa besar seperti qazaf, maki hamun, menunggang agama, jadi batu api menghasut, tidak kompeten apabila diberi amanah, khianat dengan amanah jawatan dan hanya makan gaji buta.

Bagi Khawarij, Islam mesti tertegak di tangan mereka, keadilan hanya muncul apabila mereka jadi kerajaan. Orang lain akan sentiasa dituduh ‘zalim’ walaupun hari pertama menjadi kerajaan.

Apabila PMX lantang suarakan isu Palestin pun, masih tidak dianggap cukup baik seperti perlakuan pemimpin mereka.

Walhal, Duta Khas Timur Tengah yang dilantik dulu hanya mampu bersikap berkecuali.

Kini mereka samakan lawan politik seperti Firaun, untuk pamerkan betapa ‘Nabi Musa’nya mereka.

Padahal kita sama-sama Mukmin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan hanya berbeza pandangan politik. Itulah sikap Khawarij.

BACA JUGA Pemikiran Khawarij dalam isu kantin sekolah