Google minta maaf akui silap nilai Ringgit

Google Malaysia telah memohon maaf susulan kesilapan memaparkan kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit (USD-MYR) yang disiarkan di laman cariannya.

Permohonan maaf itu dibuat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi ciapan di laman X rasminya hari ini.

Google Malaysia dalam ciapannya memaklumkan, pihaknya telah menyelesaikan isu berkenaan bersama pihak ketiga.

“Kami segera menghubungi pihak ketiga yang memberikan maklumat kadar pertukaran USD-MYR untuk membetulkan kesilapan.

“Isu berkenaan kini telah diselesaikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang berlaku.

“Sila rujuk sumber rasmi seperti laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat sebarang keputusan berkaitan hal kewangan,” ciapnya.

Dalam pada itu, Google turut menjelaskan bahawa mereka menyediakan kadar tukaran mata wang hanya untuk tujuan maklumat.

Pada 16 Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dengan tegas menolak data tidak tepat mengenai kadar pertukaran ringgit yang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR yang salah oleh Google pada 15 Mac 2024.

BNM dalam kenyataan menegaskan bahawa maklumat tersebu tidak tepat dan tidak mencerminkan dagangan sebenar.

BNM menjelaskan pada Jumaat 15 Mac 2024, kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada 9 pagi, dan 4.7045 pada 5 petang dengan kadar intrahari tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

BACA JUGA: Nasib suntingan Pas agar AMANAH sertai MN…