Islam terancam satu ilusi, Islam terjamin satu realiti

OLEH: Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof

Saya sempat menyinggung persoalan “Islam terancam” dalam Usul Junjung Kasih Titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Negara. Sesungguhnya “Islam terancam” hanyalah satu ilusi untuk tujuan politik. Ilusi adalah tanggapan tidak benar atau mengelirukan ia antonim kepada perkataan “realiti”. Jadi tanggapan “Islam terancam” hanyalah tanggapan tidak benar dan tidak berpijak di bumi realiti.

Hujahan saya adalah untuk memperkukuhkan sebaliknya iaitu “Islam terjamin” di Malaysia. Alasan saya tidak perlu memerlukan akal saintis roket untuk memahaminya. Paling asas, Perkara 3 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan meletakkan secara terang bahawa ” Islam adalah Agama Persekutuan”

Kedudukan ini dihormati dalam peruntukan lain seperti Perkara 11(4), walaupun ada hak kebebasan beragama ia tetap terhad kepada sekatan iaitu tidak boleh sebarkan agama lain kepada orang Islam. Begitu juga hak pendidikan dalam Perkara 12 (2), iaitu hak Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan instituisi Islam dan yang berkaitan dengannya termasuk mendanainya dengan kewangan persekutuan.

Senarai kuasa dalam Butiran 1, Jadual ke Sembilan memberikan kuasa pentadbiran Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah. Wa imma senarai Persekutuan sekalipun dimasukkan kuasa dalam hal kewangan dan perbankan Islam sebagai hak persekutuan. Selain itu Perkara 121 (1A) memberikan kebebasan Mahkamah dari campurtangan Mahkamah Sivil. Begitu juga pindaan Akta 355 yang ditingkatkan kepada tahapnya hari ini serta diperluaskan kepada Sabah dan Sarawak. Di manakah “Islam terancam?”

Dari sudut praktik, Perkara 38 adalah berkenaan Majlis Raja-Raja dan dalam 38 (2) (b) memberi kuasa mempersetuju atau tidak hal berkenaan amalan dan upacara Islam diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh. Wujudnya Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) di bawah Majlis Raja-Raja adalah benteng Islam terjamin kerana kuasa yang ada dalam membuat apa sahaja keputusan untuk menjaga Masalahah Islam. Bila pulak “Islam terancam?”

Selain Islam terjamin dalam Perlembagaan kita, di medan aktiviti dakwah, kuliah, seminar, forum dan upacara keraian Islam, sekolah Islam, Universiti Islam bercambah dan berkembang dengan pesat. Saya tidak faham bagaimana “Islam terancam?” Ini tidak termasuk imej Malaysia di mata dunia yang terkenal dengan berbagai inovatif dan produk Islam, memang tak masuk akal pada pandangan dunia di Malaysia “Islam terancam”

Jadi apakah asas “Islam terancam?” Kalau isu berkenaan kes -kes mahkamah yang dibawa terkait dengan sensitiviti umat Islam seperti kalimah Allah, murtad, petisyen keputusan mencabar enakmen seperti di Selangor dan Kelantan, ia adalah perkara perundangan bersifat teknikal dan tiada kena mengena dengan mengancam Islam. Lainlah kalau kerajaan nak hapuskan semua peruntukan perlembagaan tentang Islam, itu menjadi hampir mustahil sebab Raja-Raja Melayu yang mempunyai kuasa dalam demikian. Sebab itu titah YDPA semasa pembukaan Parlimen menegaskan bahawa “…Islam akan terus terpelihara”

Terbuktilah “Islam terancam” hanyalah ilusi yang terbina atas kebimbangan tidak berasas. Sebagai seorang Muslim kita patut berasa bimbang jika ada isu yang mengancam Islam malah kita perlu mempertahankannya. Tidak dinafikan ada kelemahan di sana sini yang menyentuh soal Islam tetapi kita perlu mencari solusi bersama dan berhenti daripada berilusi dengan meratib “Islam terancam”. Dengan hujahan yang saya nayatakan di atas saya yakin untuk merumuskan di Malaysia Islam terjamin.


Penulis ialah senator Dewan Negara dan timbalan presiden AMANAH

BACA JUGA: Rasionalisasi pencen, reformasi parlimen diangkat Mujahid