Rasionalisasi pencen, reformasi parlimen diangkat Mujahid

Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata kerajaan perlu melipatgandakan usaha dalam merasionalisasikan skim pencen penjawat memandangkan RM28 bilion diperuntukkan khususnya untuk bayaran pencen.

Beliau berkata semakan semula dasar pencen perlu dibuat secara halus dan terperinci.

“Kerajaan dalam hal ini perlu

  1. Menjelaskan rasional ini dengan lebih meyakinkan
  2. Menjawab tohmahan kononnya tindakan ini mendiskriminasikan Bumiputera
  3. Menjelaskan kebanyakan negara maju tidak lagi mengamalkan skim pencen
  4. Menegaskan pencen ahli politik juga akan dimansuhkan
  5. Menjelaskan tarikh sebenar penguatkuasaan
  6. Menjelaskan kedudukan sektor kritikal seperti Keselamatan, Kesihatan dan Pendidikan
  7. Menjelaskan status penjawat awam sedia ada apakah terjejas?
  8. Menjelaskan apakah faktor yang boleh menarik minat kepada sektor awam setelah skim pencen dihapuskan.

Beliau turut menyentuh isu reformasi parlimen.

“Kata kunci peranan kita adalah “scrutinizing” atau penelitian, namun demikian, untuk melunaskan tanggungjawab tersebut kita memerlukan beberapa pengetahuan umum tentang perkara berikut:

  1. Perlembagaan Persekutuan, falsafah dan perkara asas perlembagaan
  2. Proses bagaimana sesuatu undang-undang dibuat
  3. Dinamika undang-undang dengan melihat pengaruh perkembangan sosial, politik dan teknologi
  4. Konvensyen antarabangsa dan piawaian yang ditetapkan
  5. Kemampuan penguatkuasaan dan persediaan ke arah itu.

“Dari sudut penelitian hak, keadilan dan hukuman

  1. Sejauh manakah undang-undang yang hendak diluluskan menepati piawaian hak asasi manusia yang dijamin sebagai prinsip sejagat
  2. Sejauh manakah undang-undang itu menyediakan ruang kepada pesalah atau penuntut untuk mendapat remedi
  3. Sejauh manakah kaedah keadilan terpakai dalam mana-mana perundangan seperti ‘natural justice’ dan konsep rehabilitative sebagai alternatif
  4. Sejauh manakah kuasa diamalkan dalam perundangan tertentu sebagai mengimbangi kuasa keterlaluan eksekutif yang boleh membawa kepada salah guna kuasa.”

Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata demikian dalam usul menjunjung titah diraja di Dewan Negara hari ini.

“Usaha reformasi parlimen perlu diteruskan melalui peningkatan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas dan Jawatankuasa Dewan yang lain untuk memastikan peranan scrutiny, deliberation dan expansion diaktifkan dengan lebih berkesan.

“Mesyuarat jawatankuasa perlu lebih kerap berbanding sekadar Persidangan wajib untuk membuka ruang kepada peranan penelitian yang lebih selesa samada menyemak undang-undang, melihat keperluan undang-undang baharu mahupun meneliti konvensyen-konvensyen yang telah ditandatangani negara untuk dipakai dalam undang-undang negara.”

BACA JUGA: Perkuatkan undang-undang berkaitan sensitiviti agama