Perkongsian pengetahuan, teknologi pertanian dalam hubungan Malaysia-Argentina

Malaysia melihat potensi kerjasama besar dengan Argentina dalam bidang pemindahan teknologi dan perkongsian pengetahuan berkaitan pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara yang dicadangkan adalah tentang perkongsian pengetahuan berkait teknik dan teknologi penanaman terkini.

Terdahulu, Mohamad menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Republik Argentina, TYT Diana Mondino di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Kuala Lumpur.

Dalam kunjungan itu, Mohamad memaklumkan, Malaysia turut berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang varieti jagung Argentina yang berpotensi memberikan hasil yang tinggi, mempunyai rintangan perosak dan penyakit, serta penyesuaian lebih baik terhadap perubahan iklim.

“Saya juga difahamkan TYT Diana Mondino amat berminat untuk membincangkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam industri halal Malaysia.

“Oleh itu, saya mengambil kesempatan pagi ini menjemput JAKIM untuk berkongsi pandangan dan perspektif mereka tentang bagaimana Malaysia boleh mengukuhkan kerjasama dalam industri halal bersama Argentina,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Mohamad turut menzahirkan rasa berbesar hati dengan jalinan kerjasama antara Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan National Agricultural Technology Institute (INTA) Argentina dalam memajukan teknologi pertanian untuk meningkatkan kehidupan petani dan pengguna.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang sangat baik dengan Argentina melalui perdagangan pertanian.

Justeru beliau berharap hubungan baik itu akan terus berkembang pada masa hadapan.

“Setakat ini, sektor pertanian telah menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara dengan peningkatan yang stabil sejak 2019.

“Jumlah nilai dagangan dalam sektor ini telah meningkat 19.08 peratus daripada RM7.02 bilion pada 2021 kepada RM8.36 bilion pada 2022 dan saya percaya ianya berpotensi untuk dikembangkan,” ujarnya lagi.

BACA JUGA: Menteri seru daftar dengan Jabatan Pertanian mudahkan saluran bantuan