Agong murka isu kalimah Allah timbul semula
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka ekoran isu kalimah Allah yang timbul semula. Kali ini menerusi stokin yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.
“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini,” kata baginda menerusi laman Facebooknya.
“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Baginda turut bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah Seri Paduka Baginda.
Kontroversi timbul ekoran stokin dengan kalimah Allah di cawangan kedai serbaneka tersebut.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah memberitahu Dewan Rakyat semalam bahawa siasatan sedang dijalankan.
Pemilik KK Mart telah pun memohon maaf dan sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekalnya.
BACA JUGA: Agong bukan patung yang ikut kehendak menteri