Mohon maaf tak cukup, KK Mart perlu dedahkan siapa petualangnya – Hasbie
Kontroversi membabitkan isu stoking menggunakan kalimah Allah masih belum mereda biarpun Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr. KK ChaiĀ membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini.
Atas sebab itu wujud desakan dari Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasbie Muda untuk KK Mart mengambil tanggungjawab dengan mendedahkan petualang di sebalik kontroversi yang tercetus.
Beliau menyifatkan permohonan maaf dibuat belum mencukupi kerana tiada penjelasan terperinci dibuat tentang bagaimana isu stoking dengan kalimah Allah boleh terlepas ke premis seolah-olah tiada tapisan dibuat.
“Kami berpendirian bahawa permohonan maaf daripada KK Mart tidak mencukupi. Penjelasan dibuat dalam isu ini masih kabur dan tidak menerangkan secara terperinci bagaimana ia boleh berlaku.
“Justeru kami berpendapat bahawa sekiranya pihak KK Mart tidak mengambil tindakan yang lebih tegas dan jelas dalam isu ini, permohonan maaf sebegitu kita anggap sebagai tindakan main-main.
“Ini kerana bukan mudah untuk satu produk itu boleh lepas ke dalam kedai. Dia sepatutnya melalui proses ketat. Kita harap tindakan tegas daripada kerajaan supaya kita tahu siapa petualang di sebalik insiden ini kerana kita bimbang.
“Selagi mana penjelasan terperinci tidak dibuat dan tak ada jaminan bahawa ianya tidak akan berulang, maka kita merasakan bahawa tindakan yang lebih tegas wajar diambil,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Pada masa sama Hasbie berkata, Pemuda AMANAH senada dengan Pemuda Umno yang meminta agar kain rentang dengan permohonan maaf digantung ke semua 881 cawangan KK Mart di seluruh negara.
Menurutnya, tindakan itu adalah munasabah supaya pihak yang bertanggungjawab memberi jaminan agar isu tersebut tidak berulang lagi.
Sementara itu Senator Dewan Negara itu menasihatkan orang ramai agar tidak keterlaluan mengapikan isu ini sehingga membakar sentimen perkauman dan menyentuh pihak istana.
“Ada yang mengatakan istana tak peduli. Tapi bila Pemangku Sultan keluar kenyataan, itu perkara serius. Saya harap ia tak dijadikan modal untuk bakar sentimen perkauman. Biarlah Kementerian Dalam Negara ambil tindakan sewajarnya dan kita harap dinokhtahkan dengan segera dengan jaminan ianya tidak akan berulan,” katanya lagi.
BACA JUGA Penghinaan kepada Raja-raja dibuat secara terancang