Penghinaan kepada Raja-raja dibuat secara terancang

Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah dilihat cuba diambil kesempatan oleh pihak tertentu dengan melakukan penghinaan secara terancang kepada Raja-raja.

Tersebar banyak hantaran di Facebook daripada pengguna berbeza yang menggunakan ungkapan sama susulan kes yang sedang disiasat polis membabitkan penjualan stoking itu di kedai serbaneka KK Mart di Sunway, Selangor.

“Bila jadi isu KK Mart ni baru aku sedar kat Malaysia ni hina raja/Sultan lebih sensitif di mata pemimpin berbanding hina Allah dan Islam ye,” kata kenyataan itu.

Ungkapan tersebut dikenal pasti muncul dalam sejumlah akaun pengguna Facebook dengan sedikit perubahan pada beberapa perkataan tertentu.

Perubahan itu seperti “kita” bagi menggantikan “aku” dan “hina” kepada “sentuh isu”.

Kenyataan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab itu dilihat cuba memainkan sentimen isu 3R (agama, kaum, diraja) di media sosial.

Semakan Harapan Daily mendapati rata-rata individu yang memuatnaik hantaran tersebut merupakan penyokong Perikatan Nasional (PN).

Malah, ada individu yang memegang jawatan dalam Pemuda Pas dan Pengarah Penaziran Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI Malaysia) kendalian sayap pemuda parti pembangkang itu.

Namun, terdapat individu yang dilihat memadam hantaran yang dilihat menghasut dan menyemai kebencian kepada Kerajaan MADANI itu.

Untuk rekod, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kebiadaban penjualan stoking berkalimah Allah itu bertumpu kepada vendor atau pengedar produk berkenaan ke pasaran.

Semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memberitahu di Dewan Rakyat bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Shamsul berkata, siasatan akan tetap diteruskan bagi menyiasat dan mendakwa pihak terbabit khususnya yang mengedar dan menjual produk itu walaupun permohonan maaf sudah dibuat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart), 16 Mac lalu.

Pengasas KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai, dalam sidang medianya menyatakan, pengurusan produk itu dibuat sepenuhnya oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka terbabit tanpa pemantauan pekerja pihaknya.

KK Chai berkata, hasil pemeriksaan ke atas 800 cawangan KK Super Mart di seluruh negara mendapati hanya tiga premis mempunyai stoking terbabit dan 14 pasang tertera kalimah Allah.

BACA JUGA Perkuatkan undang-undang berkaitan sensitiviti agama