Ambil iktibar dari kes KK Mart

Susulan kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah, pengilang, pembekal, dan kedai-kedai perlu mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap KK Super Mart berhubung isu berkenaan.

“Seperti mana harapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim supaya tindakan keras diambil, kita mengarahkan siasatan dijalankan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga memaklumkan siasatan tetap diteruskan meskipun permohonan maaf sudah dibuat.

“Kita mengharapkan apabila siasatan ini dilakukan dan pihak bersalah ditemui, maka tindakan keras seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong perlu dilaksanakan sebagai pengajaran.

“Tuanku pada pembukaan Parlimen sebelum ini menitahkan bahawa isu 3R (raja, kaum, agama) tidak disentuh. Jadi pengilang, pembekal, kedai dan sebagainya perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku,” katanya memetik BH, hari ini.

Menurut Mohd Na’im lagi, pihaknya juga sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjalankan siasatan menyeluruh dalam isu berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan isu kalimah Allah di stoking bukan isu remeh.

Ini kerana katanya, ia merupakan kalimah suci kepada umat Islam dan perlu difahami oleh setiap masyarakat di negara ini.

“Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum harus membina perpaduan dan tidak menyentuh isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian.

“Apabila baca komen warga maya di media sosial bertanya kenapa kalimah Allah letak dekat stoking nak diperbesarkan.

“Saya nak tekankan perkara ini sangat besar, jadi kemungkinan kurang faham orang bukan Islam mengenai sensitiviti agama,” ujarnya lagi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

BACA JUGA: KK Mart terima amaran keras Jakim