Kenali Gabriel Garcia Marquez sebelum kecam Anwar
Pengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengenali penulis buku bernama Gabriel Garcia Marquez dengan lebih mendalam sebelum mengecam beliau kerana penulis ini bukan sasterawan biasa bahkan ada bukunya yang telah diterjemah ke dalam Bahasa Melayu.
Wartawan Fathi Arif Omar ketika mengulas isu ini mencadangkan “elok mereka berkenalan dengan buku ini untuk mengenali siapa manusia bernama Gabriel GarcÃa Márquez.”
Menurut Fathi, Marquez bukan sasterawan biasa.
Dipanggil Gabito, atau Gabo sahaja, beliau seorang wartawan dan penggerak politik aliran kiri yang berpengaruh besar di Amerika Selatan.
Kesasteraannya dibandingkan Miguel de Cervantes, pengarang karya besar Eropah dan Sepanyol, Don Quixote.
“Tetapi, yalah, pembaca kita bukan minat sastera sangat. Orang sastera belum tentu!” tulis Fathi menerusi facebook beliau.
Baru-baru ini, Anwar memuat naik gambar beliau sedang membaca buku penulis itu ketika berada di atas kapal terbang dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari Jerman.
“On the flight home from Hamburg, after a hectic, punishing but highly productive official visit to Germany, I read Gabriel Garcia Marquez’s posthumous novel – Until August,” tulis Anwar.
(Dalam perjalanan pulang dari Hamburg, selepas acara yang padat tetapi lawatan yang produktif ke Jerman, saya membaca novel Gabriel Garcia Marquez bertajuk Until August.)
Ekoran itu, Anwar dikecam oleh pembenci beliau kononnya PMX itu membaca buku lucah dengan memetik sedikit kandungan buku itu.
“DS Anwar Ibrahim tidak membaca buku lucah apabila menghabiskan Until August. Bukan begitu tumpuan Marquez walau selalu muncul cerita anak haram, hubungan sulit, kecurangan atau pelacur dalam karyanya,” kata Fathi dalam komen beliau.
Marquez, seperti sasterawan besar abad ke-20, mengupas persoalan budaya dan politik lebih besar melalui watak dan ceriteranya. Beliau bercerita tentang kolonialisme Eropah dan ingatan kolektif.
Persoalan memori sering menjadi tema, misalnya The Buried Giant karya Kazuo Ishiguro. Tema kesan penjajahan diangkat Abdulrazak Gurnah melalui beberapa karya, antaranya Paradise.
Katanya, Anwar pernah mengupas ringkas karya agung Marquez (4 April 2020) di Facebook.
One Hundred Years of Solitude (OHYS) menonjolkan sentimen antipenjajahan dan kritikan politik.
Bagi Márquez, menempuhi zaman perang yang ganas dan mengerikan dengan keberadaan pemerintahan yang otoritarian ternyata sesuatu yang hampir mustahil baginya sebagai seorang wartawan.
“Bagi mereka yang melaluinya amat sukar untuk membedakan kebenaran dan kebatilan. Ada pepatah yang mengatakan kritikan dan kreativiti harus diselitkan dengan simbolisme dalam suasana yang terkepung dengan kebejatan dan fasisme.
“Sisi ini sering kita dipertemukan dalam pelbagai novel, filem dan karya-karya seni dari negara-negara yang tertindas. Kritikan OHYS jauh jangkauannya dan masih relevan hingga kini,” kata Fathi, penulis asal Terengganu itu yang kini mengetuai Selangorkini selepas meninggalkan Malaysiakini.
BACA JUGA Ketua Pemuda Pas dakwa guru Pasti bukan pekerja tapi sukarelawan