Ketua Pemuda Pas dakwa guru Pasti bukan pekerja tapi sukarelawan

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang digerakkan parti itu bukanlah pekerja, sebaliknya hanya sukarelawan.

Beliau dalam sidang Dewan Rakyat semalam, mempersoal Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengapa siasatan perlu dilakukan terhadap Pasti, menganggap sekolah itu telah ditekan oleh pihak menteri.

Kata ahli Parlimen Alor Setar itu, Pasti adalah aktiviti sukarelawan yang melibatkan ahli parti dan tidak membabitkan aktiviti antara pekerja dan majikan serta bukan aktiviti perniagaan.

“Saya nak bertanya Yang Berhormat Menteri. Apa tujuan kementerian untuk buat siasatan kepada semua premis Pasti kerana Pasti ini aktiviti parti yang dijalankan secara sukarela, dan guru-guru itu adalah sukarelawan Pasti.

“Ia bukan aktiviti majikan dengan pekerja, mohon penjelasan Yang Berhormat menteri,” katanya.

Menjawab persoalan itu, Steven berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat tidak kira milik parti politik, swasta mahupun kerajaan, bahawa hak pekerja akan terus dilindungi.

“Tak kira parti politik ke, syarikat swasta ke syarikat kerajaan, tak kiralah DAP ke Pas, kita akan kuatkuasakan undang-undang untuk melindungi hak pekerja,” balasnya.

Sebelum ini, Harapan Daily pernah melaporkan bahawa guru-guru Pasti dikatakan dibayar serendah RM500 bergantung kepada yuran yang dibayar ibu bapa. Yurannya pula berbeza mengikut kawasan bandar atau pedalaman.

Mereka tidak mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak mempunyai pencen dan dikatakan tidak dibayar tuntutan kerja lebih masa.

Disebabkan Ketua Pemuda Pas sendiri mendakwa guru Pasti adalah sukarelawan, maka semakin sukar untuk guru-guru ini mendapat pembelaan sewajarnya dalam menuntut gaji setimpal.

Rentetan dakwaan guru di sekolah itu adalah sukarelawan, tular kembali iklan kerja mencari guru Pasti dipercayai dimuat naik semula oleh pengguna media sosial.

Tertera pada iklan itu perkataan “jawatan kosong” dan “pengambilan guru tetap” yang kebiasaannya digunakan untuk mencari pekerja, dan bukannya mencari sukarelawan

Ia menimbulkan lebih banyak persoalan yang nampaknya menuntut parti itu sendiri untuk menjelaskan kepada orang ramai tentang status sebenar guru-guru Pasti yang berpuluh tahun tidak terbela.

BACA JUGA Nasib kakitangan Kedah Agro Holdings terbela, menteri jamin gaji dibayar sebelum Aidilfitri