Kesederhanaan PMX, Agong duduk bersimpuh ketika berbuka bersama tuai perhatian

Satu foto Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuka bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sambil duduk bersimpuh di lantai menuai perhatian ramai.

Ia dianggap lambang terbaik yang menunjukkan hubungan akrab antara Istana dengan pihak kerajaan.

Foto itu ketika Sultan Ibrahim berkenan berbuka puasa bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan serta perwakilan asing di Istana Negara malam kelmarin.

Turut dilihat kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dengan hanya beralaskan kain putih, santapan berbuka dimulakan dengan menjamah kurma dan air mineral, sebelum Agong bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan menunaikan solat Maghrib.

Kesederhanaan yang ditunjukkan dalam foto tersebut menarik perhatian ramai dengan ada yang menitip pesanan agar kerajaan terus menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

“Sangat erat hubungan PMX dengan Yang di-Pertuan Agong. Leading by example, good to see“.

“Lama tak tengok istana dan kerajaan dalam keadaan harmoni” – demikian antara komen orang ramai di Facebook.

Sementara itu di platform X, seorang pengguna bernama Adam Yusuf berkata, gambar itu adalah mesej sebenar erti Ramadan dan kepimpinan.

“Aku suka tengok gambar ini. Satu mesej yang jelas erti ramadan dan kepimpinan.

“Moga kesederhanaan ini dapat menginsafkan diri dan berusaha sedaya mungkin untuk pulihkan negara. Rakyat juga perlu bersatu hati dan melawan musuh sebenar iaitu sikap pentingkan diri dan iri hati,” ciapnya.

BACA JUGA Kenali Gabriel Garcia Marquez sebelum kecam Anwar