Nasib kakitangan Kedah Agro Holdings terbela, menteri jamin gaji dibayar sebelum Aidilfitri

Nasib 24 kakitangan Kedah Agro Holdings akhirnya terbela apabila Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memaklumkan bahawa gaji tertunggak yang melibatkan lebih setengah juta ringgit akan dibayar sebelum sambutan Aidilfitri akan datang.

Beliau berkata, keputusan itu dicapai ketika mesyuarat lembaga pengarah Kedah Agro Holdings pada Ahad.

Selain itu, lembaga pengarah juga memutuskan untuk menghentikan operasi anak syarikat Menteri Besar Incorporated itu.

“Justeru faedah penamatan dan gaji ganti notis akan dibayar dalam tempoh tiga bulan mulai Mac 2024,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu di Dewan Rakyat semasa Waktu Sesi Pertanyaan Menteri hari ini.

Difahamkan, operasi KAHB bermasalah sejak 2016 dan berterusan sehingga kini menyebabkan MBI Kedah terpaksa menanggung kos operasi anak syarikatnya termasuk membayar gaji pekerjanya.

Sementara itu Sim berkata, pekerja telah dinasihatkan untuk memfailkan kes buruh bagi tuntutan gaji terhadap majikan.

Selepas itu Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Manusia akan memulakan siasatan sekiranya ada laporan difailkan dibawah Seksyen 19 Akta Kerja atas kesalahan pembayaran gaji lewat.

“Jika sabit kesalahan majikan boleh didenda tidak lebih RM50,000 setiap pertuduhan bawah Seksyen 99A Akta yang sama,” katanya menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

Terdahulu, Sim mengulangi komitmen JTKSM untuk menyiasat semua aduan dalam tempoh 21 hari sejak laporan dibuat.

Harapan Daily sebelum ini melaporkan pendedahan dibuat kakitangan Kedah Agro Holdings yang mendakwa tidak dibayar gaji selama sembilan bulan.

Kakitangan mendakwa surat telah pun dihantar kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengenai tunggakan gaji mereka, namun tiada keputusan yang diperoleh.

BACA JUGA “Ingatkan tarif air naik, servis makin baik”, penduduk kecewa pengurusan AKSB bermasalah