3 penjaga gol di Belgium ‘cedera’ serentak, rupanya solidariti buat pemain Muslim untuk berbuka
Pada aksi Liga Belgium hujung minggu lalu, terdapat peristiwa menarik yang berlaku di mana tiga penjaga gol yang beraksi di 3 stadium berbeza, rebah dengan ‘kecederaan’ pada waktu yang hampir sama.
Ia berlaku betul-betul selepas 20 minit permainan dan memasuki waktu Maghrib.
Ia bukan pun satu kebetulan, sebaliknya satu solidariti untuk memberikan masa kepada pemain beragama Islam berbuka puasa.
Dalam aksi Liga Belgium, penjaga gol Herve Koffi yang beraksi dalam aksi antara KAA Gent vs Cherleroi; seterusnya Tobe Leysen dalam aksi antara OH Leuven vs Mechelen; serta Maarten Vandevoordt dalam aksi antara Westerlo vs Racing Genk – kesemuanya cedera hampir pada masa yang sama.
Itu bermakna ada 3 daripada 4 perlawanan yang berlangsung pada sepak mula yang sama, di mana penjaga gol cedera pada masa yang hampir sama.
Mereka sebenarnya tidak cedera. Namun dilaporkan sengaja mengambil kesempatan demi rakan rakan pemain yang beragama Islam kerana di Belgium agak ramai pemain yang beragama Islam.
Vandevoordt selepas tamat perlawanan dengan wajah tersenyum puas mengakui di hadapan wartawan, “Ya memang kami tak cedera, namun kami melakukannya untuk solidariti kepada pemain yang berpuasa,” katanya.
Belgium berbuka puasa 6.51 petang ketika perlawanan berlangsung. Dan ketiga tiga penjaga gol itu ternyata puas dapat memberikan sedikit bantuan kepada rakan mereka.
Penjaga gol KAA Gent, Devy Roef sebenarnya sudah memberitahu rakan sepasukan dia akan merebahkan dirinya untuk meminta rawatan.
Dan pada masa itu dia berharap semua pemain beragama Islam berbuka puasa segera dengan memakan kurma dan meminum air. Dia juga meminta rakan rakannya memberitahu pemain lawan yang beragama Islam untuk buka puasa bersama.
Namun dia tidak berkesempatan berbuat begitu kerana penjaga gol lawan, Herve Koffi sudah melakukannya terlebih dahulu. Roef tidak melakukannya kerana dia tahu Koffi melakukannya demi pemain muslim.
“Saya dah setuju untuk melakukannya minit ke-25, namun saya melihat Koffi terlebih dahulu melakukannya,” kata Roef.
Liga Belgium tidak membenarkan pengadil menghentikan permainan untuk berbuka puasa seperti mana Liga Belanda dan Liga Perdana Inggeris.
BACA JUGA Presiden Indonesia baharu: PM Anwar pemimpin pertama ucap tahniah