Presiden Indonesia baharu: PM Anwar pemimpin pertama ucap tahniah

Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto selepas diumumkan sebagai pemenang rasmi Pilihan Raya Presiden 2024.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook, berkata beliau dimaklumkan adalah pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Prabowo selepas pengumuman keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

“Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah di atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai.

Prabowo Subianto

“Saya dimaklumkan saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi PEMILU sebentar tadi.

“Ini cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting.

“Selamat maju jaya dan saya menyatakan keyakinan bahawa Bapak Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan yang berterusan dan kemakmuran negara Indonesia,” kata Anwar.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pemimpin itu bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala yang mencakupi pelbagai aspek sebagai negara jiran.

Malaysia dan Indonesia juga, tambahnya, berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutamanya dalam ruang lingkup ASEAN.

Pemilihan Presiden dan Naib Presiden 2024 melibatkan kiraan undi di 38 wilayah Indonesia dan 128 pusat pengundian di luar negara.

“Pesta Demokrasi” di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu menyaksikan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming diumum sebagai pemenang rasmi.

Beliau mendapat 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi, menurut pengumuman KPU malam tadi.

Analisis Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) menunjukkan Prabowo-Gibran menang di 36 wilayah manakala dua lagi wilayah dimenangi pesaing mereka pasangan Anies Baswedan–Muhaimin Iskandar.

Anies–Muhaimin meraih 24.9 peratus atau 40,971,906 undi, manakala Ganjar Pranowo-Mahfud MD memperoleh 16.5 peratus atau 27,040,878 undi.

BACA JUGA 3 penjaga gol di Belgium ‘cedera’ serentak, rupanya solidariti buat pemain muslim untuk berbuka