Cari kaedah selesai masalah di kampung halaman – PM Anwar

Para pemimpin kerajaan disaran mencari kaedah menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat di kampung halaman masing-masing, saran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, langkah tersebut akan menyelesaikan separuh daripada permasalahan sosial, kewangan dan pendidikan di kawasan luar bandar.

“Sebagai anak kampung, kita harus ambil tanggungjawab ini. Saya mulakan dengan Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam (Pulau Pinang).

“Dalam seminggu ini saya terpaksa hubungi rakan atau balik kawasan untuk tentukan wakil wanita, wakil belia, jawatankuasa masjid, jawatankuasa kampung supaya semua ada tanggungjawab untuk menyampaikan (memaklumkan) kemudahan dan keperluan mereka (penduduk) termasuk keluarga miskin, kedudukan pendidikan di sekolah, masalah dadah di kampung.

“Semua ini harus diambil tahu,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Eksekutif Malaysia Madani Penjawat Awam 2024 bertajuk Bina Kota: Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta Tunjang Membangun Malaysia Madani di Putrajaya.

Dalam masa sama, Anwar juga mahu rakyat menghentikan perbincangan jumud dan lapuk demi melonjakkan negara yang berdepan situasi kelembapan ekonomi.

“Tidak ada untungnya jika masing-masing rasa mahu menang dengan menanam kebencian dan mencerca orang lain kerana ia tidak akan memenangkan negara dalam semua aspek,” tegas Anwar lagi.

BACA JUGA: Peruntukan kepada Terengganu kali ini lebih besar berbanding diberi PN – Anwar