Peruntukan kepada Terengganu kali ini lebih besar berbanding diberi PN – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pentadbirannya memberikan peruntukan yang lebih besar kepada Terengganu berbanding kerajaan sebelumnya, sekaligus menafikan dakwaan Kerajaan Persekutuan meminggirkan negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.55 bilion untuk pembangunan di Terengganu tahun lalu di samping bayaran royalti petroleum RM786 juta.

Malah, beliau yang juga menteri kewangan berkata perbelanjaan pembangunan untuk negeri ditadbir Pas itu meningkat kepada RM1.59 bilion tahun ini.

Katanya, jumlah royalti petroleum Terengganu juga bertambah semasa pentadbirannya berbanding ketika Pas dan Bersatu berada dalam kerajaan iaitu hanya RM399 juta pada 2022.

“Pada 2022, kerajaan beri RM399.12 juta (kepada Terengganu), manakala tahun lepas kita naikkan. Kita jangkakan peruntukan itu meningkat pada 2024.

“Peruntukan untuk membangunkan Terengganu juga meningkat daripada RM1.55 bilion pada 2023 kepada RM1.59 bilion (dalam bajet).

“Saya telah menjelaskan perkara ini sebelum ini di Parlimen, tetapi mereka (pembangkang) terus berkata kita zalim dan menentang agama, dan lain-lain. Mereka kata ia bukan Madani (kerajaan), tetapi ‘Madanon’ dan banyak lagi (penghinaan),” katanya.

Bercakap pada mesyuarat bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini, Anwar berkata dana disalurkan terus kepada rakyat dan bukannya kepada ahli parlimen mana-mana kawasan

Beliau juga menyentuh tentang peruntukan yang disekat kepadanya semasa Umno-Pas-Bersatu mengetuai Putrajaya.

“Meskipun Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sudah jelaskan (mengenai perkara itu) di Parlimen, mereka (pembangkang) tetap memanggil kami zalim.

“Semasa saya menjadi pembangkang berpuluh tahun, kita tidak menerima sebarang peruntukan, termasuk ketika Umno-Pas-Bersatu menjadi kerajaan. Ketika itu tidak zalim, tetapi sekarang zalim?

“Bolehkah undang-undang (Islam) berubah mengikut pakatan politik? Kalau dulu zalim, ya, sekarang pun zalim,” sindir Anwar.

Semasa sidang Dewan Rakyat pada 6 Mac lalu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) meminta penjelasan daripada Anwar mengenai tunggakan bayaran royalti minyak kepada negeri itu tahun lalu.

Ahli parlimen Pas itu mendakwa negeri itu masih belum menerima kira-kira RM1 bilion daripada kerajaan pusat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata dia tidak menerima sebarang peruntukan semasa menjadi Ahli Parlimen Port Dickson (2018-2022).

Namun, katanya, dia tidak mahu mengungkit tentang masa lalu, terutama pada bulan puasa.

Dalam ucapannya, Anwar berkata kerajaan telah membayar dana khas atau ‘Wang Ehsan’ berjumlah RM786 juta kepada Terengganu, untuk tahun lepas.

Di samping itu, kerajaan persekutuan juga telah memenuhi semua obligasi pembayaran geran persekutuan kepada negeri, tambahnya.

BACA JUGA 3 penjaga gol di Belgium ‘cedera’ serentak, rupanya solidariti buat pemain Muslim untuk berbuka