Lima berita gembira buat warga Felda

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan lima berita gembira khas buat warga Felda.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, khabar itu merangkumi pemberian bantuan khas bersasar RM300 kepada peneroka Felda berpendapatan RM1,000 ke bawah sempena Aidilfitri.

Menurutnya, kumpulan itu juga bersama kelompok peneroka berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 akan menikmati penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

Selain itu, katanya, pembinaan infrastruktur baharu juga akan dilaksanakan selain penyelarasan program oleh Majlis TVET Negara.

Jelasnya lagi, Felda juga menyasarkan sekurang-kurangnya 50 orang anak tanah rancangan itu menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Peluang menyambung pengajian di UniKL itu khusus dalam kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada sesi pengambilan akan datang.

Zahid merangkumkan kesemua lima berita gembira itu malam tadi di laman X rasmi beliau.

Kelmarin, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengumumkan khabar baik itu semasa Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Warga Felda di Dewan Besar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Trolak.

BACA JUGA Kesederhanaan PMX, Agong duduk bersimpuh ketika berbuka bersama tuai perhatian

Â