Pasti dah dibawa ke Mahkamah Buruh ketika Pas dalam kerajaan

Oleh LIYANA MARZUKI

Saya dengar ucapan Ahli Parlimen Alor Setar, penjelasan beliau mengenai Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti).

Katanya, Pasti ini suatu bentuk aktiviti parti, bukan aktiviti perniagaan. Makanya semua pekerja mereka adalah sukarelawan.

Dia juga kata, makanya Pasti ini tidak perlu ikut undang-undang lain. Sebab Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dah benarkan mereka beroperasi ikut undang-undang parti sendiri.

Ini saya rasa dari segi undang-undang dangkal sekali.

Kalau pun aktiviti parti, takkan lah undang-undang lain tak terpakai?

Contoh, aktiviti parti nak buat perhimpunan aman, kena juga minta permit dari polis.

Aktiviti parti nak buat perniagaan dan koperasi, kena mendaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Sama juga, kalau parti nak buat tadika, kenalah terpakai kepada undang-undang sedia ada. Mana-mana tadika pun sama.

Kena ada lesen pihak berkuasa tempatan (PBT), Bomba dan permit Kementerian Pendidikan (KPM).

Sama saja dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT). Mana boleh pacak tiang rumah dan jalankan saja.

Isu keselamatan kanak-kanak dan isu kebajikan pekerja perlulah diselia. Sama saja terpakai kepada semua pusat pendidikan kanak-kanak sedia ada.

Adakah kerana anda parti politik, maka makam anda lagi tinggi? Maksum dari undang-undang?

Mereka akan cakap, dah 30 tahun kami beroperasi, kenapa nak kacau kami?

Ini bukan isu kacau, ini sebab Cikgu Pasti yang bawa ke mahkamah.

Tahun 2021 lagi, Pasti telah disiasat dan dibawa ke Mahkamah Buruh.

Tahun 2022, 4 orang Cikgu Pasti menang kes dan Mahkamah putuskan mereka berstatus pekerja bukan sukarelawan.

Tahun 2021 dan 2022 itu Pas masih dalam kerajaan, patutnya dah boleh dibetulkan.

Satu lagi yang jadi kegusaran, macam mana sistem pendidikan awal kanak-kanak dijadikan aktiviti parti?

Adakah seawal 5-6 tahun kita nak dedahkan anak-anak dengan elemen kepartian?

Tambah yang mengelolakannya sayap Pemuda parti. Apa kepastian yang ada kanak-kanak ini tidak dibrainwashing?

Adalah selepas ini DAP dan PKR boleh tubuhkan tadika sendiri, dan ajak anak-anak kita sertai? Ini pun saya tak setuju sekali.

Pada saya, sistem pendidikan awal kanak-kanak eloklah bebas dari elemen parti politik.

Kita mendidik perkara asas pendidikan, janganlah dari awal lagi nak jadikan kanak-kanak ini partisan.

*LIYANA MARZUKI merupakan pengamal undang-undang yang ingin mendidik masyarakat mengenai politik, demokrasi dan melawan propaganda.

BACA JUGA Rosak perpaduan berpunca ahli politik main politik kaum dan agama