Rosak perpaduan berpunca ahli politik main politik kaum dan agama

Senator Dewan Negara, Hasbie Muda berkata, yang merosakkan perpaduan dalam negara bukanlah sistem pendidikan, tetapi berpunca dari sikap ahli-ahli politik yang mengamalkan politik identiti atau politik kaum dan agama.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu mengambil contoh di Indonesia, di mana politik identiti berteraskan unsur perkauman dan agama ketika berlangsungnya siri kempen Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2024, menyebabkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

“…Bahawa yang merosakkan perpaduan kita dalam negara bukan sistem pendidikan, tetapi ahli-ahli politik yang masih mengamalkan politik identiti sebagai latar dan modal mereka untuk meraih sokongan yang tak seberapa dalam politik.

“Kalau kita tengok umpamanya negara luar, jiran kita juga. Ketika tempoh pilihan raya atau pemilu yang lepas, ada dibangkitkan soal politik identiti.

“…dalam kalangan ahli-ahli politik Indonesia mereka menyesal kerana apa yang mereka lakukan itu membawa kepada lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada negara mereka,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Negara, kelmarin.

Menurut Hasbie, memasuki tahun ke 67 kemerdekaan negara, Malaysia masih belum menemui formula terbaik dalam soal perpaduan kaum sehingga insiden-insiden kecil pun boleh dipergunakan untuk memicu sentimen dan sensitiviti rakyat.

“Kita dah lebih 60 tahun merdeka, tetapi dalam soal perpaduan kaum ini kita masih belum ada formula, kita masih belum ada jawapan yang menyebabkan insiden-insiden kecil pun akan memicu sentimen dan sensitiviti rakyat.

“Pada akhirnya kita menghabiskan banyak masa untuk bercakap tentang isu yang remeh ini,” ujarnya.

BACA JUGA Harga getah RM4 sekilogram zaman Madani ni tepat pada masanya, era PN RM2.50 saja