KK Mart, Xin Jiang Chang akan berdepan pertuduhan jenayah

Pihak polis bercadang menghadapkan syarikat serbaneka KK Mart dan pembekal Xin Jiang Chang Sdn Bhd dengan pertuduhan jenayah ekoran kontroversi stoking dengan kalimah Allah.

“Kedua-duanya. KK Mart dan kilang,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain di sidang media yang diadakan pagi tadi.

Beliau turut menyatakan bahawa kertas siasatan kes telah pun diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Keterangan daripada 174 individu telah dirakamkan.

“Kita perhalusi proses perolehan, ada kawalan mutu (atau tidak). Siasatan berasaskan proses dan fakta, kemudian kita ajukan kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Beliau turut menasihat sesiapa yang membeli stoking tersebut agar menyerahkannya kepada polis.

“Saya syor jangan guna. Walau dia bukan beragama Islam, jika dipakai (boleh) menimbulkan lagi amarah umat Islam.

“Siapa yang sudah terbeli, elok serahkan kepada polis dan beritahu (beli di) kedai mana.

“Kalau ada yang terbeli di kedai lain, tolong datang buat laporan. Jangan tangkap gambar dan tularkan (di media sosial). Ia sangat tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

BACA JUGA: KK Mart terima amaran keras Jakim