Perolok isu stoking: Penjara 6 bulan denda RM12,000
Seorang pemuda Cina Chiok Wai Loong telah dihukum penjara enam bulan dan denda RM12,000 susulan komennya di Facebook yang memperolok kontroversi jualan stoking bertulis kalimah Allah.
Hukuman tersebut diberikan selepas Chiok yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah kepada hakum Suzana Hussin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Chiok memberitahu mahkamah bahawa dia tidak bermaksud menghina agama lain.
“Saya komen macam keyboard warrior (jaguh siber). Bukan sengaja. Macam hobi (jadi jaguh siber), bukan sengaja hina. Hobi saja.
“Saya tak tahu agama orang lain sangat sensitif.
“Kami orang Cina ada rantai kaki dan tangan serta tatu dewa di pelbagai bahagian badan. Ingat hanya kecil punya hal.
“Saya tidak tahu perkataan ini boleh jadi menghina,” kata juruteknik aplikasi sosial itu dengan sebak.
Chiok, dari Cheras, Kuala Lumpur, ditangkap polis pada 20 Mac.
Dia sebelum ini telah membuat permohonan maaf terbuka setelah mendapat ‘nasihat’ beberapa lelaki dipercayai anggota kumpulan silat.
Dia juga menjadi mangsa dedah maya oleh pihak tidak berpuas hati yang berkongsi maklumat peribadinya di alam maya.
Dalam hantaran Facebook pada 18 Mac, Chiok berkata stoking tersebut harus dialu-alukan keran ia akan melindungi pemakainya dari kepala ke kaki.
BACA JUGA: KK Mart, Xin Jiang Chang akan berdepan pertuduhan jenayah