Awas cuaca panas melebihi 37 darjah Celcius

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan agar semua aktiviti di luar bilik darjah, ditunda buat sementara waktu di semua lokasi dengan status cuaca panas Tahap 1.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jika status cuaca bertukar kepada status gelombang haba, tindakan selanjutnya boleh diambil oleh Kementerian Pelajaran sebagaimana Pelan Tindakan Bagi Menangani Gelombang Haba 2016.

”Ia sebagaimana Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan Akibat Gelombang Haba 2021 dikeluarkan oleh KKM dan Garis Panduan Penutupan Institusi Pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Semasa Cuaca Panas yang dikeluarkan pada 18 April 2023.

“Pendedahan kepada cuaca panas dengan berpanjangan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

“Murid-murid sekolah adalah antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat kesan masalah kesihatan akibat pendedahan kepada cuaca panas disebabkan faktor fisiologi dan juga faktor kurang pengambilan air.

”KKM turut menasihati ibu bapa agar memastikan anak-anak untuk mengambil air secukupnya,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadan ini, Muhammad Radzi menasihati ketika bersahur dan berbuka puasa hendaklah minum air yang mencukupi.

Beliau turut menasihati agar mengawasi tahap hidrasi dan kesihatan anak-anak sepanjang berpuasa.

Menerusi status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam, Perlis mengalami gelombang haba (iaitu suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius) sejak 19 Mac lalu.

Manakala, sebahagian besar negeri Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Muda, Pendang, Sik, Baling) dan sebahagian negeri Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta) mengalami cuaca panas Tahap 1 (iaitu suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius).

Pada masa yang sama, MetMalaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius masih berlaku di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sehingga April depan.

Maklumat lanjut dan terperinci boleh diperoleh daripada laman sesawang MetMalaysia dan Kementerian Kesihatan.

BACA JUGA: 14 daerah catat cuaca panas berjaga-jaga hingga 37 darjah Celcius