KADA ambil langkah selamatkan sawah

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan melaksanakan pembenihan awan minggu depan bagi menyelamatkan sawah yang terkesan akibat kemarau.

Pengerusi KADA Muhammad Husain berkata tindakan itu terpaksa diambil kerana kemarau semakin kritikal dan pam Kemubu tidak dapat mengairi sawah.

Pembenihan besar kemungkinan akan dilakukan di Ketereh meliputi kawasan paling kritikal.

“Kawasan padi paling teruk terjejas adalah di Kota Bharu Utara (KBU) dan Kota Bharu Selatan (KBS).

“Kita khuatir jika sehari dua ini air memang tak ada, kemungkinan ada tanaman padi yang tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui dalam majlis iftar di kediaman beliau di Kampung Gong Ketereh.

Menurutnya penyediaan pam mudah alih dan pam air tidak lagi dapat mengatasi masalah kekurangan air kerana sumber air terdekat seperti sungai juga kering kerana kemarau.

Katanya, tanaman padi berusia 40 hingga 50 hari masih boleh bertahan, tetapi tanaman kurang usia 30 hari akan terjejas teruk.

“Hasil padi akan terjejas sehingga 10 peratus yang mana hasil sepatutnya boleh dituai April ini,” katanya.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail bagi membincangkan masalah air di kawasan tanaman padi kerana sumber air turut membabitkan pihak kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Terdahulu, dilaporkan seramai 2,630 pesawah di Kelantan membabitkan kawasan tanaman di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara dan Bachok terjejas akibat kemarau.

BACA JUGA: Minimum RM1000 untuk penjawat awam Selangor