Didakwa sabotaj KK Mart untuk naikkan kedai sendiri, Firdaus Wong akhirnya buka mulut
Susulan penemuan stoking dengan lambang kalimah Allah di sebuah kedai serbaneka terkenal KK Mart, pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung dikaitkan dengan dakwaan cuba mensabotaj kedai tersebut.
Dia dikatakan mempunyai pasar raya miliknya sendiri iaitu MyKampung Freshmart dan spekulasi tersebar mendakwa pendakwah itu merancang menaikkan nama kedainya.
Bagaimanapun Wong dalam satu hantaran di TikTok, menafikan kesemua spekulasi yang tersebar, menjelaskan dia tiada motif peribadi dalam isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart.
Apa yang mengejutkan, dia mendedahkan bahawa MyKampung Freshmart sebenarnya sudah dihentikan operasi pada dua tahun lalu.
“Saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana saya tidak memaklumkan bahawa Mykampung Freshmart telah pun berhenti operasi lebih kurang dua tahun yang lepas.
“Perkongsian oleh ramai pengguna di media sosial mereka mencuba seolah-olah membina satu persepsi kononnya isu kalimah Allah di stoking yang dijumpai di KK Mart itu ada unsur sabotaj oleh saya di atas dasar dan sebab persaingan perniagaan,” katanya di TikTok.
Di tengah kontroversi yang belum reda, gambar Wong di depan MyKampung Freshmart kembali disebarkan, dengan sejumlah pihak mendakwa presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) itu ada kepentingan sendiri ketika membangkitkan isu stoking tersebut.
Terdahulu, polis berkata pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan sedang menunggu arahan seterusnya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, polis mencadangkan kedua-dua KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan dengan pertuduhan jenayah.
Sementara itu, Wong turut menjelaskan dia tidak pernah menyeru orang ramai untuk memboikot KK Mart, sebaliknya hanya meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya.
“Saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas isu kalimah Allah di stoking yang dijumpai di KK Mart.
“Kerana di dalam posting saya…saya tidak pernah menyentuh dan tidak pernah menulis bahawa saya adalah orang pertama yang menjumpai stoking itu.
“Malahan di posting yang sama itu juga tidak ada saya menulis agar kita memboikot KK Mart,” katanya lagi.
BACA JUGA Will Smith baca al-Quran dari ‘cover to cover’ masa Ramadan, apa halnya?
Â