Gerakan boikot berjaya, Starbucks kini dalam kerugian besar

Hasil jualan kopi antarabangsa, Starbucks Coffee dianggarkan susut sehingga 34 peratus susulan tindakan boikot yang dilaksanakan secara meluas rakyat Malaysia ke atas produk yang didakwa memiliki kaitan dengan sokongan ke atas Israel.

Menurut aktivis politik, Shen Yee Aun, purata hasil jualan Starbucks Malaysia dalam tempoh tiga bulan sebelum diboikot adalah sekitar RM278 juta.

Namun selepas premis itu diboikot berikutan perang Israel-Palestin, hasil purata jualan kopi tersebut jatuh kepada RM182 juta, iaitu berlaku penurunan sehingga RM96 juta atau 34 peratus.

“Maksudnya boikot masyarakat muslim berjaya menjatuhkan Starbucks sehingga hasil jualan mereka merosot 34 peratus.

“Yang kedua (saya lihat) Tan Sri Vincent Tan dia sudah terdesak. Sebab kalau kita teliti audit perakaunan syarikat Starbucks pada tahun 2023, rizab tunai mereka dalam bank hanyalah RM30 juta.

“Tapi mereka ada liabiliti hutang sebanyak RM287 juta yang perlu dibayar dalam masa satu tahun. Dalam bank ada RM33 juta tapi mereka perlu bayar balik RM287 juta punya hutang,” katanya menerusi saluran perbincangan politik di YouTube, Cakap Hub. 

Pada masa sama katanya, Starbucks diketahui merupakan penyumbang terbesar kepada pasaran saham Berjaya Corp Bhd iaitu sekitar 93 peratus sumbangan keuntungan.

Namun selepas perniagaan runcit makanannya terjejas teruk akibat pemboikotan, pasaran saham Berjaya Corp didakwa menurun sehingga 50 peratus.

“Apabila Starbucks sekarang jatuh macam ini, pasaran saham turun 50 peratus. Starbucks Malaysia kemungkinan besar boleh bankrap kalau tak cukup aliran tunai,” katanya.

Apa yang lagi menggembirakan, Starbucks global dilaporkan kehilangan hasil jualan sebanyak 11 bilion AS dolar atau bersamaan dengan RM52 bilion pada 2023.

“Starbucks punya jualan rugi pada 2023 sebab boikot terhadap perang Israel. Starbucks di Timur Tengah juga jatuh begitu teruk sampai bulan lepas dia dah mula memecat atau memberhentikan 2,000 pekerja di Timur Tengah,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Didakwa sabotaj KK Mart untuk naikkan kedai sendiri, Firdaus Wong akhirnya buka mulut